Wednesday 25 April 2018

Menggapai Atap Sumatera (Bahagian 1)


Line up padu seramai 13 orang.  Aku bersama Atoi, Hafiz, Wan Kecik, Kurin, Lokman, Hamzah, Ros, Amy, Naim, Iwan, Semut dan Fitri dengan bantuan seorang penunjuk arah, Rappani serta 6 orang Porter, kami dalam satu ekspedisi untuk menggapai puncak tertinggi Kepulauan Sumatera, Gunung Kerinci yang juga gunung berapi aktif tertinggi di Indonesia.

9.30 pagi kami tiba di starting point, Pintu Rimba 1700meter dari aras laut. Perancangan kami untuk hari pertama adalah sehingga di Shelter 3 pada ketinggian 3300meter. Kami akan bermalam di situ sebelum menuju puncak pada awal pagi. Checkpoint kami adalah di Pos 1, Pos 2, Pos 3, Shelter 1, Shelter 2 dan Shelter 3. Bersama sedikit  keangkuhan dan muka yang sombong, di samping keterujaan yang menebal kami memulakan perjalanan. Tanpa sessi regangan fizikal kami semua laju melangkah!
starting point

Sebelum peluh jantan membasahi T-shirt rasmi yang berwarna hijau seakan-akan warna rasmi Parti Islam Malaysia (PAS), kami tiba di Pos 1 sekitar 10.00 pagi. Kami teruskan perjalanan kerana masing-masing beranggapan masih terlalu awal untuk berehat. Kami di fahamkan cabaran pendakian di Gunung Kerinci bermula dari Shelter 1. Langkah demi langkah, diselangi usikan mesra kami tiba di Pos 2. Hamzah dan Hafiz telah jauh kehadapan. Mereka berdua adalah trail runner. Tujuan mereka datang Kerinci hanya untuk training. Otot mereka masih muda ranum boleh la tunjuk power dekat sini!!

Pola pendakian sudah mula berubah. Mencanak-canak tanpa kasi chance. Laluan landai sudah mula tidak kelihatan. Aku dan Wan Kecik berada di kelompok tengah. Sengaja aku sembunyikan kekuatan aku pada rakan pendaki yang lain. Cuba untuk mengawal pace sendiri. Tidak mahu terikut dengan pace mereka yang berada di depan. Target aku untuk hari pertama adalah tiba di Shelter 3 sebelum senja tanpa sebarang kecederaan. Sekitar 10.45 pagi aku dan Wan Kecik tiba di Pos 3. Kelihatan juga rakan-rakan yang di kelompok hadapan sudah lama berhenti rehat di Pos 3. Di kelompok belakang, Atoi, Semut, Fitri dan juga Rappani (guide) masih belum tiba di Pos 3.
membawang dulu di Pos 3

Kami meneruskan pendakian, akan berkumpul di Shelter 1 untuk mencekik hidangan tengahari. Sepanjang pendakian ke Shelter 1 aku berjumpa ramai dengan pendaki tempatan. Sempat juga aku bersembang dan cuba berlakon beramah mesra seperti menteri yang meraih undi pilihanraya dengan mereka, bertanyakan lebih lanjut mengenai track pendakian Gunung Kerinci. Rata-rata mereka memberitahu kesukaran pendakian bermula dari Shelter 1.
menuju Shelter 1

Shelter 1


Kami berhenti rehat di Shelter 1 agak lama. Lunch dan ada yang solat di sini. Ketika berehat di sini ada pendaki dari Malaysia yang dalam perjalanan turun. Mereka sempat berkongsi maklumat yang mana perjalanan dari Shelter 1 ke Shelter 2 agak lama, kira-kira 4 jam .Track yang panjang, pacak dan terpaksa berpaut pada akar pokok. (saat ketika mereka kata  ke Shelter 2 mengambil masa 4 jam aku buat muka cool)


Hujan mula turun semasa kami memulakan pendakian ke Shelter 2. Ianya sedikit sebanyak menganggu rentak pendakian. Akar yang besar serta track pacak yang meletihkan otot kaki namun kami pendaki yang bertanggungjawab dan penuh dgn iltizam meneruskan pendakian. Menuju ke Shelter 2 yang berada pada ketinggian 3100meter dari aras laut tentunya menyiksakan fizikal dan juga mental.
ke Shelter 2

Ke Shelter 2

Setelah hampir bertarung nyawa selama 3 jam aku sampai di Shelter 2. Ketika itu Ros,Amy dan juga Kurin sudah tiba. Kelihatan juga seorang Porter juga di Shelter 2. Cuaca ketika itu mendung kerana baru selepas hujan. Aku mengambil kesempatan untuk menyapu minyak panas pada pangkal paha yang sudah mula memberi isyarat kecemasan. Kami difahamkan terdapat pendaki tempatan yang akan bermalam di sini. Mereka akan mulakan summit attack pada keesokan harinya dari Shelter 2. Masak la korang summit attack dari sini!
Shelter 2 pada ketinggian 3100meter

Porter memberi isyarat untuk terus ke Shelter 3. Track dari Shelter 2 ke Shelter 3 boleh dikategorikan sebagai track yang paling susah untuk hari pertama. Kami perlu memanjat, berpaut pada akar-akar kayu, track yang licin, terpaksa membongkokkan badan melalui lorong tikus. Porter memaklumkan kepada kami yang mana satu jam diperlukan untuk tiba ke Shelter 3. Aku sudah tidak sabar untuk sampai ke Shelter 3, ingin berbaring dalam khemah sambil menikmati secawan kopi panas.
menuju Shelter 3

Menuju ke Shelter 3





Menjelang jam 5 petang kami tiba di Shelter 3. Cuaca redup, angin bertiup kencang bersama udara yang sejuk 12 celcius menyambut kehadiran kami. Kesejukkan sehingga menggigil satu badan.Aku mula rasa sakit dada seakan sukar bernafas, mungkin kerana berada di altitud yang tinggi. Angin yang bertiup kencang  membuatkan porter menghadapi masalah untuk mendirikan khemah.

Aku berkongsi khemah bersama Wan Kecik dan Iwan. Dalam khemah, Iwan  dengan bersahaja menyanyikan lagu hip hop, Wan Kecik pula mengeluarkan semua bekalan makanan yang dia pikul dari bawah. Porter pula menghidangkan kopi panas. Aku rasa seperti lepak di cafe hipster. Kesenangan bukan dicari tapi diciptakan!

Sesudah menukar pakaian yang bersih, aku keluar dari khemah untuk menikmati pemandangan dari ketinggian 3300meter tapi ianya cuma harapan palsu seperti palsunya Neelofa menjual ubat menambah ketinggian di instagram. Dek kerana selepas hujan tidak ada yang boleh dilihat, cuma kabus yang mengelilingi Shelter 3.

Bermalam di dalam khemah pada ketinggian 3300meter dengan cuaca yang tidak memihak kepada kami, amat sukar untuk aku melelapkan mata. Sekadar merehatkan badan sebelum memulakan pendakian agung ke puncak pada pukul 5 pagi nanti.
Porter sedang mendirikan khemah utk pendaki2 manja

Akan bersambung...

Ditulis dengan penuh yakin, tanpa musykil dan rendah diri oleh Ahmad Armizan Bin Mohamed





5 comments:

  1. tak saba nak tunggu sambungan...mohon sambung plz...

    ReplyDelete
  2. Xnak aku gi sini..menyeksakan..mu bwk aku gi rinjani je

    ReplyDelete