Tuesday 4 October 2022

Torean yang memukau tapi

Hari sebelumnya boleh baca di sini 



Hari terakhir di Rinjani. Meninggalkan danau, menuju ke Kg Torean. Kebiasaannya pendaki menggunakan laluan Kg Senaru tetapi disebabkan gempa bumi pada tahun 2018, laluan tersebut kurang selamat bagi aktiviti pendakian.

Laluan torean dibuka secara rasmi pada tahun ini (2022). Sebelum ini laluan torean hanya digunakan oleh penduduk setempat untuk urusan harian dan upacara keagamaan. Ada lah jugak pendaki2 tempatan yang menggunakan laluan ini secara haram.




Permulaan laluan disajikan dengan keindahan lembah,gaung dan lereng-lereng gunung yang di selimuti awan dan kabus. Di tambah pula dengan adanya air terjun serta kolam air panas. Aku merasakan Torean seperti menerima kewujudan kami. Ketika ini aku dan Fathul masih lagi berlagak hensem, henfon sentiasa di tangan (untuk ambik gambar) dan masih mampu mengangkat kaki. 




Yang terindah hanya lah sementara, (seperti lagu erra fazira). Selepas menjamu mata dengan keindahan torean, azab mula menimpa. Rutin sama di laluan torean. Jumpa bukit,naik turun naik turun, re- group & derita, repeat!!  Dada mcm berdegup kencang manakala nafas pun tersekat-sekat, aku dah mula bosan dengan gaung. Terasa lambat pula nak jumpa hutan. Kerap juga tergelincir, aku tersalah langkah atau kasut Puma sport direct semasa sale penghabisan stok yang menjadi punca? 

Berselang beberapa ketika, boleh pulak Fathul nampak patung yang di gantung di pokok dan di atas batu (seperti dalam filem KKN di Desa Penari). Aku mengambil jalan selamat.  Buat-buat tak tahu, jangan tegur dan jangan pandang belakang. Orang Malaysia aku rasa lagi takut dgn UMNO dari takut hantu!!




Berbalik kepada pendakian, Kampung Torean masih lagi jauh. Banyak kali jugak kami berhenti rehat. Penat boh! Betul la kata-kata guide yang laluan Torean memang memukau tapi jauh. Dia punya jauh tu tak boleh bawak berbincang. Sepatutnya aku patut keluar dari Rinjani melalui kampung Sembalun. Aku menyesal dan aku pasti Fathul pun sama.

Porter sering kali menawarkan untuk menyediakan makan siang (lunch). Risau jika kami lapar. Penuh bertanggungjawab dan berdedikasi porter Rinjani. Kami tidak bernafsu dengan makanan. Sekadar membasahkan tekak, keinginan kami ketika itu cuma untuk tiba di Kg Torean. 




Seperti bermuafakat, aku dan Fathul terus mengheret kaki yang sarat dengan kesakitan, kesal dan penuh kepedihan. Merempuh bukit dan gaung yang begitu menyakitkan. Enal, guide kami menyarankan meneruskan perjalanan perlahan-lahan demi memastikan kami memasuki hutan torean sebelum petang. Pemandangan torean yang memukau aku dah tak ambik kisah.



Setelah keletihan datang berkali-kali, kami mula memasuki hutan. Seronok jumpa hutan. Ya memang betul seronok. Terasa seperti segala semua kemelut dan kekeliruan identiti berlalu pergi. Hutan di Torean tidak ubah seperti hutan di Malaysia. 

Kurang 10minit 4 petang. Tanaman sayur penduduk tempatan mula kelihatan. Menandakan sudah menghampiri kawasan perkampungan Torean. Untuk keluar dari Torean kami memilih untuk menaiki ojek. Kaki sudah tidak mampu melangkah. Rasa mcm nak beli kaki baru di IndoMart!!

tak perlu susah2 jalan kaki



Tq Matur & Enal



"Laluan torean memang memukau tapi hmm"

TAMAT

Ditulis dengan penuh yakin, tanpa musykil dan rendah diri oleh Ahmad Armizan Bin Mohamed























Monday 26 September 2022

Summit Attack & Danau Segara Anak

Kisah sebelumnya hari pertama di sini


3 pagi waktu tempatan.

" Bapak bapak bangun, summit attack" 

Kedengaran suara porter dari luar khemah mengejutkan dari tidur. Gila bapak la sejuk. 4 lapis baju tapi aku masih menggigil. Glove North Face copy ori vietnam seakan2 langsung tidak membantu. Aku perhatikan Fathul masih lagi tidur. Yang buat aku kagum, dia tidur dengan memakai gaiter (aksesori untuk menahan batu dan pasir dari memasuki kasut). Untuk menawan puncak Rinjani, gaiter amatlah diperlukan.

Keluar dari khemah, aku dapati sudah ramai pendaki yang menuju ke puncak. Dari bawah aku dapat melihat cahaya lampu dari headlamp mereka. Porter memberitahu itu sekumpulan pendaki yang bermula sekitar jam 1 pagi. Mendaki awal2 ni mesti nak kejar sunrise agaknya.
Cuaca ketika itu agak baik. Rezeki mereka lah dapat VIEW pagi ini.

Roti bakar dan kopi lombok panas dihidangkan. Minum panas-panas di kala kesejukkan. Fuh! 
Entah mengapa aku merasakan seperti kurang bersemangat untuk mendaki ke puncak. 

Aku : Woi Fathul, ko nak summit attack tak?
Fathul : Tengok la dulu, kita minum kopi dulu. Awal lagi ni...

Bercawan2 kopi aku minum. Nak panaskan badan kononnya. Sedang aku menikmati kopi, Mat Salleh melintas depan aku. Dia pakai seluar pendek je mat! Ntah kulit baka apa la Mat Saleh ni.

Fathul: Dah nak pkul 4 ni. macam mana kita? on ke x on?
Aku: Aku ikut ko lah, ko naik, aku naik
Fathul: Aku x konfiden sangat ni, bahu pun sakit2, kesan sampingan AMS petang tadi pun mcm ada lagi
Aku : Ko tak rasa rugi ke? aku x naik summit takpe lah. aku dh pernah naik dulu dengan Chem (Yang sebenarnya aku pun malas jugak nak naik summit).
Fathul: Nanti kita dtg semula. repeat!

Senang betul jawapan Fathul. Kata putus sudah dimuktamadkan, apa lagi aku pun masuk khemah sambung tido. 

Tengok sunrise dari khemah je lah



****************

Sekitar jam 8 pagi, kami mula persiapkan diri untuk turun ke Danau Segara Anak. Hari ini kami akan bermalam di danau. Menurut Enal 3 jam pendakian untuk sampai ke sana. Banyak trek menurun katanya, separuh nafas sudah boleh tiba di danau. Huh! Aku dan Fathul ketawa kecil. Ini pasti menyeronokkan.

Selfie dulu





Menuruni ke danau, laluan berbatu. Fathul seperti hendak menebus dosanya di hari pertama pendakian, memecut laju meninggalkan aku jauh di belakang. Ketika ini Fathul seperti Raja Bukit Le Tour De Langkawi tetapi versi downhill. Semalam mcm kura-kura, hari ni seperti harimau kumbang. 




Lama juga kami menempuh laluan berbatu sebelum menemui trek bertanah dan berumput. Selepas itu pendakian begitu mudah. Hanya laluan landai. Cuma cuaca panas agak mengganggu rentak pendakian walaupun angin di sebalik Gunung Rinjani bertiup kencang. Di tambah pula sukar untuk menemui pokok untuk tumpang berlabuh. 

Badang Rinjani


Aku perhatikan applikasi fitness di apple watch telah menunjukkan perjalanan sejauh 3KM. Ada juga laluan mendaki dan ianya tidak lah terlalu ekstrem seperti di Bukit Penyesalan. Aku dan Fathul tidak terlalu memaksa diri kerana mengetahui perjalanan hari ini tidak akan mengambil masa yang lama.



Lama kelamaan, danau Segara Anak mula kelihatan. Pemandangan di Segara Anak terlalu awesome. Tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.  Menuruni tasik tidak memerlukan banyak tenaga. Fathul dari mula mengetuai perjalanan hari ni. Kuasa veto di tangannya. Untouchable!!  Bernafas di Rinjani adalah pilihan, tidak perlu ikut kehendak dan kemahuan orang lain. 

Aku malas nak kejar pace Fathul dan hanya menjaga lutut supaya tidak tercedera kerana esok harinya kami akan keluar dari Rinjani melalui Torean. ( Dari danau ke Kampung Torean 14km). Simpan tenaga untuk esok. Konfem esok kalori banyak terbakar!!
 







Pendaki pendaki tempatan menggunakan kesempatan yang ada dengan memancing ikan di tasik manakala aku dan Fathul sekadar menikmati suasana. Di sini terdapat kolam air panas. Kami sempat membasahkan badan di sana.10 minit perjalanan diperuntukkan untuk ke kolam air panas. (dah lupa nama kolam air panas tersebut).



pagi di danau


Mungkin akan bersambung...

Ditulis dengan penuh yakin, tanpa musykil dan rendah diri oleh Ahmad Armizan Bin Mohamed




























































Wednesday 21 September 2022

Ojek , A.M.S & Pancake Pisang

 




8.30 pagi kami tiba di starting point laluan Sembalun. Enal (kiri) selaku guide yang akan mengetuai ekspedisi selama 3 hari 2 malam. Aku dan Fathul (kanan) pula  mengekori dari belakang. Perancangan Enal, untuk hari pertama kami akan mendaki sekitar 7-8 jam untuk tiba di Campsite (Plawangan Sembalun crater rim). 


Di awal pendakian kami di sambut dengan lembu-lembu peliharaan penduduk kampung. Ada lembu maka banyak lah najis-najis lembu di sepanjang laluan. Berhati-hati melangkah supaya tidak terpijak 'periuk api'30minit pendakian aku dengan Fathul mula tercungap-cungap. Pancit.  Cuaca panas mat! Tanpa berfikir panjang Fathul terus mengarahkan untuk menahan ojek. Menaiki ojek cuma mengambil masa kurang 30minit untuk tiba di Pos 2 (kalau menapak sekitar 2-3jam). 

Pengkalan Ojek



9.30 pagi kami tiba di pos 2. Memang menjimatkan masa dan tenaga menaiki ojek. Kami sempat "membazirkan masa" di Pengkalan Ojek serta memerhatikan keindahan Padang Savana. Merentasi Padang Savana dengan matahari tegak di atas kepala, di sarankan untuk memakai topi "mortal kombat". Laluan menuju ke Pos 3 hanya mendatar. Logik akal sepatutnya tidak memerlukan banyak tenaga tetapi hmmmm... Sebetulnya aku hanya perlu berada di rumah, menonton drama korea di saluran disney hotstar.

                                                                                

Padang Savana

Menghampiri 11 pagi kami tiba di pos 3. Aku perhatikan Fathul  terhuyung hayang seperti zombie. Tanpa membuang masa Fathul terus mencari port untuk power nap dan aku pula mengikut saranan Enal untuk lunch di sini. Selesai apa yang patut kami terus ke Pos 4. Sepanjang perjalanan Fathul sudah mula muntah-muntah seperti perempuan yang baru hamil. Enal mula risau akan kesihatan Fathul tapi aku cuma tersenyum sinis. Padan muka dia! dia yang beria menghasut aku ke sini. 

power nap lah sangat

Jam di tangan menunjukkan pukul 12:40 tengahari, aku tiba di Pos 4. Enal dan Fathul masih di belakang. Ramai pendaki tempatan yang berehat di sini. Jika di Padang Savana begitu panas, berlainan pula di Pos 4. Aku sudah mula kesejukan. Fathul tiba agak lewat dan kelihatan pucat. Enal memberitahu yang Fathul muntah lagi di dalam perjalanan. Dramatik!  


Selepas ini kami  akan melalui Bukit Penyesalan (terdapat 7 bukit). 3-4 jam pendakian untuk melepasi bukit ini sebelum tiba di Plawangan Crater Rim (campsite). Aku masih ingat lagi sukarnya bukit ini sekitar 6 tahun lepas. Ketika itu aku bersama Chem (komrad haluan kiri) mendaki Rinjani.




Pola pendakian di Bukit Penyesalan betul-betul tiada diskaun. Pacak, pacak dan terus pacak. Memang tidak cukup nafas dibuatnya. Ditambah lagi dengan bebanan beg yang kami pikul. Lemah dan penat. Fathul sempat lagi melelapkan mata di atas trek dan mula pening kepala. Beberapa kali kami berhenti dan memberi ruang untuk Fathul berehat. Enal mula mengesyaki yang Fathul sudah mengalami AMS (Altitude Mountain Sickness). Perkara yang ditakuti oleh pendaki. 

Di sebalik kabus , ada bukit lagi




dari camera Fathul



Bukit demi bukit diharungi, pelbagai karenah pendaki yang kami dapat lihat. Ada pendaki yang sudah hilang pedoman sehinggakan terpaksa porter yang memikul beg mereka. Memang menguji ketahanan mental untuk melepasi Bukit Penyesalan. Aku pasti kemarahan serta penyesalan sudah mula menguasai diri mereka. Perspektif berbeza bagi pendaki apabila melalui Bukit Penyesalan. Buat lagi terkesan melihat para porter yang cuma memakai selipar jepun memotong kami di sepanjang pendakian. Tabik hormat untuk porter Rinjani!!


3.30 petang, tinggal lagi satu bukit untuk kami harungi. Fathul muntah lagi, selongkar bag dan terus mencari panadol. Porter yang telah lama tiba di campsite akan menghidangkan pancake pisang untuk minum petang. Terus aku teringat akan keenakkan pancake pisang 6tahun lepas. Layan juga menikmati pancake di sebalik awan karpet Plawangan Crater Rim. Terbayang pancake pisang aku memaksa Fathul terus melangkah. 

campsite

Berperang fizikal & mental hampir 8jam, kami selamat tiba di Plawangan Crater Rim, lokasi perkhemahan malam pertama. Pancake pisang sudah siap terhidang. Lantas aku makan tanpa pedulikan Fathul yang seperti menyesal menjejakkan kaki ke Rinjani.

Akan bersambung...

Ditulis dengan penuh yakin, tanpa musykil dan rendah diri oleh Ahmad Armizan Bin Mohamed




Sunday 6 May 2018

Menggapai Atap Sumatera (Bahagian 2)

Untuk baca bahagian 1 di sini



4.30 pagi. Pendakian ke puncak akan bermula sebentar lagi. Kopi panas bersama burger menjadi sumber tenaga pada pagi itu. Burger kami tidak ubah seperti "burger stadium" (yang pernah masuk stadium mesti tahu). Aku perhatikan Iwan dan Wan Kecik tanpa rela menelan berger tersebut.

Pak Rappani memimpin pendakian kami bersama dengan bantuan 4 orang porter. Hujan renyai-renyai bersama hembusan angin yang mencucuk tubuh mengiringi pendakian kami. Berbekalkan keazaman yang membara aku bersedia untuk menawan puncak tertinggi Sumatera walaupun mata rabak kerana tidak mendapat tidur secukupnya.  
Kami melangkah di dalam satu barisan seperti pelajar Darjah 1 beratur menuju ke kantin. Begitu berdisiplin.

Laluan ke puncak terus mencanak tanpa ada diskaun, berpasir dan  berbatu kecil.  Ditemani cahaya dari headlamp kami melangkah dengan berhati-hati. Sebenarnya aku suka dengan kemeriahan ini. Di dalam gelap tempat yang tinggi serta udara yang dingin tapi aku tidak rasa kesunyian. Aku dapat mendengar dengan jelas coleteh rakan-rakan. 
Kata-kata motivasi dan jangan mudah give up kedengaran tanpa henti. Proses mencapai sesuatu perlukan inspirasi dan motivasiApa yang aku perasaan dalam kalangan kami semua cuma aku yang menggunakan tongkat (trekking pole). Adakah aku terlalu bergaya inginkan kesempurnaan atau disebabkan faktor usia?. Hujan yang turun tidak menunjukkan isyarat akan berhenti. Setengah jam mendaki kami semua berhenti seketika. Ketika ini kami masih dalam satu kumpulan. Masih lagi berdisiplin.




Kabus yang terlalu tebal maka harapan untuk menikmati sunrise hanya tinggal harapan. Matahari seperti malu untuk keluar dari sarangnya. Melepasi sejam pendakian aku sudah berpisah dengan kelompok hadapan. Aku bersama Semut dan Fitri seperti sudah tidak mampu mengejar rakan yang di hadapan. Di belakang kami, Porter menemani Amy yang mengalami AMS. 



Menuju puncak
Wan seperti biasa ada kuasa kuda


Kami yang di kelompok belakang mendaki seperti zombie yang tiada arah. Bau sulfur yang dikeluarkan dari kawah gunung berapi Kerinci mula menusuk hidung. Mata aku juga terasa pedih. Glove murahan yang aku pakai mula dimasuki air. Jiwa dan minda aku mula rapuh. 



Sebelum datang ke Kerinci aku ada terbaca mengenai Tugu Yudha, tugu yang dibina sempena mengingati pendaki yang hilang ketika menuruni puncak. Tetapi tugu itu tidak aku temui. Menghampiri jam 7 pagi, Porter memaklumkan bahawa rakan kami di hadapan sudah tiba di puncak. Adakah aku cemburu dengan mereka yang sudah tiba di puncak? Sikit pun tidak. Aku tidak boleh mengaku kalah. Kekalahan paling besar adalah kalah pada diri sendiri... 
Bersama Semut dan Fitri


Setelah 2 jam lebih berperang dengan emosi, kami yang di kumpulan belakang akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke puncak tertinggi Sumatera. Aku bangga dalam kecewa sebenarnya. Bangga dapat menjejakkan kaki ke Gunung Berapi tertinggi Indonesia tetapi dalam masa yang sama  dek kerana badai yang melanda kami semua tidak dapat menikmati view. Pendaratan tidak sempurna!! Dalam kesejukkan kami semua bergambar kenangan. 
Abadikan saat-saat indah dilandai BADAI!! Sekurang-kurangnya ada bukti yang kami sudah berjaya menggapai atap Sumatera. Untuk menyedapkan hati lagi aku sematkan rasa berbaloi berperang dgn Air Asia untuk mendapatkan tiket penerbangan murah.
Group photo. STN

Dengan Iwan Si Insta Femes
Bukti dah sampai ke puncak



Udara yang sejuk 5 celcius serta cuaca yang tidak tenang terus menghantar kami memulakan perjalanan turun dari puncak. Menuruni ke Shelter 3 kami singgah di Tugu Yudha. Aku dapat rasakan semasa perjalanan naik aku tidak melalui laluan ini. Atau mungkin aku yang tidak perasan kerana kabus yang tebal menghadkan jarak penglihatan. Kurang 1 jam dari puncak kami semua tiba di Shelter 3.



dah nak sampai ke khemah


Sampai di khemah hidangan spaghetti tersedia. Layanan para porter membuatkan aku rasa seperti anak orang kaya slot Akasia TV3. Syukur kami tidak mati kelaparan! 


Kami mula membuat persiapan akhir untuk turun ke starting point (Pintu Rimba). Komitmen tinggi diperlukan untuk menuruni track yang licin. Azab naik lain, azab masa turun lain! Bagi aku perjalanan turun menuju ke Shelter 2 lagi parah kerana ianya curam seperti masa naik yang begitu mencanak. 

Perjalanan turun tidak mengambil banyak masa seperti hari pertama. Hari yang masih cerah membuatkan aku tidak terlalu tergesa-gesa. Tidak seperti rakan-rakan lain di hadapan yang cenderung untuk cepat sampai ke Pintu Rimba. Aku dengan bersahaja mengikuti kelompok belakang bersama Atoi,Fitri,Iwan, dan juga Amy. Dan aku yakin kumpulan kami ini lebih fun dari kumpulan hadapan. Sepanjang perjalanan turun aku perhatikan akan karenah Iwan yang selalu update IG story. Melalui pemantauan aku, Iwan tidak mahu follower dia runsing dan tertanya akan keselamatan beliau agaknya.





Menuju ke Pintu Rimba


Sekitar jam 2 petang kami di kumpulan belakang selamat tiba di Pintu Rimba dengan jayanya. Selamat tinggal Gunung Kerinci. Kerinci, kamu begitu baik melayani kunjungan kami. Semoga hubungan diplomasi antara kita berpanjangan. Puncak tertinggi Kepulauan Sumatera telah  berjaya kami tawan tetapi Kerinci, kamu ada hutang dengan kami. View!!

Geng Siput selamat sampai ke Pintu Rimba


********


Mengikut perancangan, selepas Gunung Kerinci kami akan mendaki ke  Danau Gunung 7. Tetapi tahap kercegasan kami yang diragui, maka Danau Gunung 7 selamat tidak terusik dengan karenah musibat-musibat STN.



TAMAT


Ditulis dengan penuh yakin, tanpa musykil dan rendah diri oleh Ahmad Armizan Bin Mohamed






Wednesday 25 April 2018

Menggapai Atap Sumatera (Bahagian 1)


Line up padu seramai 13 orang.  Aku bersama Atoi, Hafiz, Wan Kecik, Kurin, Lokman, Hamzah, Ros, Amy, Naim, Iwan, Semut dan Fitri dengan bantuan seorang penunjuk arah, Rappani serta 6 orang Porter, kami dalam satu ekspedisi untuk menggapai puncak tertinggi Kepulauan Sumatera, Gunung Kerinci yang juga gunung berapi aktif tertinggi di Indonesia.

9.30 pagi kami tiba di starting point, Pintu Rimba 1700meter dari aras laut. Perancangan kami untuk hari pertama adalah sehingga di Shelter 3 pada ketinggian 3300meter. Kami akan bermalam di situ sebelum menuju puncak pada awal pagi. Checkpoint kami adalah di Pos 1, Pos 2, Pos 3, Shelter 1, Shelter 2 dan Shelter 3. Bersama sedikit  keangkuhan dan muka yang sombong, di samping keterujaan yang menebal kami memulakan perjalanan. Tanpa sessi regangan fizikal kami semua laju melangkah!
starting point

Sebelum peluh jantan membasahi T-shirt rasmi yang berwarna hijau seakan-akan warna rasmi Parti Islam Malaysia (PAS), kami tiba di Pos 1 sekitar 10.00 pagi. Kami teruskan perjalanan kerana masing-masing beranggapan masih terlalu awal untuk berehat. Kami di fahamkan cabaran pendakian di Gunung Kerinci bermula dari Shelter 1. Langkah demi langkah, diselangi usikan mesra kami tiba di Pos 2. Hamzah dan Hafiz telah jauh kehadapan. Mereka berdua adalah trail runner. Tujuan mereka datang Kerinci hanya untuk training. Otot mereka masih muda ranum boleh la tunjuk power dekat sini!!

Pola pendakian sudah mula berubah. Mencanak-canak tanpa kasi chance. Laluan landai sudah mula tidak kelihatan. Aku dan Wan Kecik berada di kelompok tengah. Sengaja aku sembunyikan kekuatan aku pada rakan pendaki yang lain. Cuba untuk mengawal pace sendiri. Tidak mahu terikut dengan pace mereka yang berada di depan. Target aku untuk hari pertama adalah tiba di Shelter 3 sebelum senja tanpa sebarang kecederaan. Sekitar 10.45 pagi aku dan Wan Kecik tiba di Pos 3. Kelihatan juga rakan-rakan yang di kelompok hadapan sudah lama berhenti rehat di Pos 3. Di kelompok belakang, Atoi, Semut, Fitri dan juga Rappani (guide) masih belum tiba di Pos 3.
membawang dulu di Pos 3

Kami meneruskan pendakian, akan berkumpul di Shelter 1 untuk mencekik hidangan tengahari. Sepanjang pendakian ke Shelter 1 aku berjumpa ramai dengan pendaki tempatan. Sempat juga aku bersembang dan cuba berlakon beramah mesra seperti menteri yang meraih undi pilihanraya dengan mereka, bertanyakan lebih lanjut mengenai track pendakian Gunung Kerinci. Rata-rata mereka memberitahu kesukaran pendakian bermula dari Shelter 1.
menuju Shelter 1

Shelter 1


Kami berhenti rehat di Shelter 1 agak lama. Lunch dan ada yang solat di sini. Ketika berehat di sini ada pendaki dari Malaysia yang dalam perjalanan turun. Mereka sempat berkongsi maklumat yang mana perjalanan dari Shelter 1 ke Shelter 2 agak lama, kira-kira 4 jam .Track yang panjang, pacak dan terpaksa berpaut pada akar pokok. (saat ketika mereka kata  ke Shelter 2 mengambil masa 4 jam aku buat muka cool)


Hujan mula turun semasa kami memulakan pendakian ke Shelter 2. Ianya sedikit sebanyak menganggu rentak pendakian. Akar yang besar serta track pacak yang meletihkan otot kaki namun kami pendaki yang bertanggungjawab dan penuh dgn iltizam meneruskan pendakian. Menuju ke Shelter 2 yang berada pada ketinggian 3100meter dari aras laut tentunya menyiksakan fizikal dan juga mental.
ke Shelter 2

Ke Shelter 2

Setelah hampir bertarung nyawa selama 3 jam aku sampai di Shelter 2. Ketika itu Ros,Amy dan juga Kurin sudah tiba. Kelihatan juga seorang Porter juga di Shelter 2. Cuaca ketika itu mendung kerana baru selepas hujan. Aku mengambil kesempatan untuk menyapu minyak panas pada pangkal paha yang sudah mula memberi isyarat kecemasan. Kami difahamkan terdapat pendaki tempatan yang akan bermalam di sini. Mereka akan mulakan summit attack pada keesokan harinya dari Shelter 2. Masak la korang summit attack dari sini!
Shelter 2 pada ketinggian 3100meter

Porter memberi isyarat untuk terus ke Shelter 3. Track dari Shelter 2 ke Shelter 3 boleh dikategorikan sebagai track yang paling susah untuk hari pertama. Kami perlu memanjat, berpaut pada akar-akar kayu, track yang licin, terpaksa membongkokkan badan melalui lorong tikus. Porter memaklumkan kepada kami yang mana satu jam diperlukan untuk tiba ke Shelter 3. Aku sudah tidak sabar untuk sampai ke Shelter 3, ingin berbaring dalam khemah sambil menikmati secawan kopi panas.
menuju Shelter 3

Menuju ke Shelter 3





Menjelang jam 5 petang kami tiba di Shelter 3. Cuaca redup, angin bertiup kencang bersama udara yang sejuk 12 celcius menyambut kehadiran kami. Kesejukkan sehingga menggigil satu badan.Aku mula rasa sakit dada seakan sukar bernafas, mungkin kerana berada di altitud yang tinggi. Angin yang bertiup kencang  membuatkan porter menghadapi masalah untuk mendirikan khemah.

Aku berkongsi khemah bersama Wan Kecik dan Iwan. Dalam khemah, Iwan  dengan bersahaja menyanyikan lagu hip hop, Wan Kecik pula mengeluarkan semua bekalan makanan yang dia pikul dari bawah. Porter pula menghidangkan kopi panas. Aku rasa seperti lepak di cafe hipster. Kesenangan bukan dicari tapi diciptakan!

Sesudah menukar pakaian yang bersih, aku keluar dari khemah untuk menikmati pemandangan dari ketinggian 3300meter tapi ianya cuma harapan palsu seperti palsunya Neelofa menjual ubat menambah ketinggian di instagram. Dek kerana selepas hujan tidak ada yang boleh dilihat, cuma kabus yang mengelilingi Shelter 3.

Bermalam di dalam khemah pada ketinggian 3300meter dengan cuaca yang tidak memihak kepada kami, amat sukar untuk aku melelapkan mata. Sekadar merehatkan badan sebelum memulakan pendakian agung ke puncak pada pukul 5 pagi nanti.
Porter sedang mendirikan khemah utk pendaki2 manja

Akan bersambung...

Ditulis dengan penuh yakin, tanpa musykil dan rendah diri oleh Ahmad Armizan Bin Mohamed